Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Pengurusan bermaksud kerja mengurus sesuatu perkara secara berterusan. Manakala pembelajaran bermaksud proses belajar sesuatu perkara yang baru. Pengurusan dan pembelajaran melibatkan proses merancang, memimpin dan mengawal daya usaha untuk mewujudkan sesuatu perubahan dalam diri seseorang yang tidak disebabkan oleh pertumbuhan.
Antara kaedah pembelajaran yang sering digunakan adalah kaedah berpusatkan guru, berpusatkan pelajar, berpusatkan bahan dan kaedah mengaitkan dengan pengalaman. Menurut Ewert, Place dan Sibthorp (2005), kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dikaitkan dengan pengalaman mampu mendedahkan para pelajar kepada pengalaman sebenar berbanding dengan pembelajaran secara teori sahaja.
Perspektif pengurusan terbahagi kepada dua iaitu bilik darjah dan sekolah. Pengurusan bilik darjah melibatkan tindakan guru untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan interaksi sosial yang positif, penglibatan yang aktif dan meningkatkan motivasi kendiri murid (Burden, 2003). Dalam pengurusan bilik darjah terdapat tiga perkara yang perlu dititikberatkan iaitu pembelajaran, tingkah lau dan disiplin, dan fizikal. Strategi pengurusan pembelajaran adalah berpusatkan kepada guru, bahan, dan pelajar. Strategi berpusatkan guru adalah satu strategi di mana guru menguasai proses pengajaran dan pembalajaran contohnya kuliah, penghafalan, menyalin nota dan membuat latihan yang diberi oleh guru. Manakala strategi berpusatkan bahan pula guru menggunakan bahan seperti buku, bahan lukisan, komputer, peralatan saintifik dan lain-lain untuk menjalankan pengajaran. Strategi pengurusan pembelajaran yang berpusatkan pelajar pula pelajar mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa yang diajar dan bagaimana ia dapat mempelajarinya.
Pengurusan sekolah adalah sebuah sistem pengurusan organisasi bagi menjamin matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan lancar. Namun, pengurusan sekolah menjadi semakin sukar dengan cabaran-cabaran yang semakin bertambah setanding dengan kemajuan negara. Kesukaran ini juga disebabkan oleh pembaharuan sistem pendidikan yang memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua guru-guru.
Antara prinsip yang perlu diamalkan dalam sesi pembelajaran adalah ianya mestilah kondusif, bermatlamat dan mampu mendorong para pelajar. Suasana yang kondusif sedikit sebanyak dapat meningkatkan minat belajar dalam diri para pelajar. Ditambah pula dengan dorongan yang positif daripada para guru, pelajar-pelajar ini akan lebih bersemangat dalam menuntut ilmu.
No comments:
Post a Comment