Pengurusan bilik darjah merupakan kebolehan guru untuk mengawal murid-murid bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Menurut Guey R. Lefroncis (1999), pengurusan bilik darjah merujuk kepada “sesuatu konsep yang komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang. Ini bertujuan untuk memudahcarakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hal ini merangkumi tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk dan memperuntukkan masa pelajaran”.
Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pengurusan Bilik Darjah terbahagi kepada dua:
a) Faktor Fizikal
Menurut Mok Soon Sang (2011) faktor fizikal merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah tersebut. Sebagai contohnya, kemudahan dan peralatan sekolah merujuk kepada bangunan sekolah, kemudahan-kemudahan di kawasannya, meja dan kerusi, alatan serta perabot di dalam bilik darjah. Mengikut kajian pakar-pakar penyelidik, suasana fizikal sekolah kondusif adalah faktor yang penting dalam usaha meningkatkan keberkesanana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam sekolah.
b) Faktor Kemanusiaan
Manakala bagi faktor kemanusiaan pula, Mok Soon Sang (2011) telah mengklasifikasikannya kepada dua kategori iaitu faktor sosial dan faktor emosi. Faktor sosial merujuk kepada hubungan dan corak interaksi antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Contohnya, murid yang mempunyai sifat pendiam tidak suka bergaul dengan murid yang lain. Faktor emosi pula merujuk kepada perasaan murid-murid terhadap pemimpin dan guru mereka. Sifat-sifat yang ditunjukkan oleh guru di dalam kelas akan mempengaruhi suasana emosi yang akan menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid. Sebagai contohnya, guru yang bersifat agresif akan menimbulkan suasana emosi kegelisahan di kalangan murid.
Pelaksanaa bilik darjah abad ke-21 sememangnya membantu memperkasa mutu pembelajaran. Hal ini demikian kerana menurut Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (2018), garis panduan yang patut dipatuhi oleh guru kelas ada lah seperti berikut;
- kedudukan guru berhampiran dengan murid
- pemandangan murid jelas dan tidak terhalang
- ruang pergerakan yang selesa
- akses mudah kepada sumber pembelajaran
- penggunaan ruang pada dinding
- wujud ruang untuk aktiviti-aktiviti tertentu
- beri perhatian kepada pencahayaan, pengudaraan, dan perabot
- kebersihan
- susunan kerusi meja murid yang fleksibel (tradisional, kumpulan kecil, seminar)
Dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) hendaklah berlaku secara formatif dan sumatif selain berterusan dalam sesi P&P bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, keboleha, dan pencapaian murid. PBD tidak membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka. Antara kepentingan PBD adalah;
- mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
- mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
- mengetahui keberkesanan pengajaran
- merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
- mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta
Sebagai rumusannya, setiap guru haruslah mengetahui maksud pengurusan bilik darjah secara mendalam dan cara untuk menguruskannya. Hal ini dapat membina sebuah organisasi yang baik di dalam bilik darjah. Guru juga haruslah bijak dalam memikirkan pelbagai cara untuk mengatasi masalah disiplin yang sering berlaku di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, sangat penting bagi guru-guru untuk mengambil tahu serba sedikit mengenai latar belakang dan minat murid-murid agar prosesp pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan.


No comments:
Post a Comment